KASYAF
Pengertian, Jenis dan MacamnyaKasyaf bermaksud terbuka, yakni terbuka tabir pemisah antara hamba dengan Tuhan. Kasyaf juga bermaksud Allah membukakan seseorang supaya mampu melihat perkara yang tidak dapat dilihat orang lain.
Maka kasyaf dari sudut sufi dan tassawuf pula ialah, terbukanya tabir hijab yang selama ini menutup pandangan kepada alam lain. Telah dikatakan bahawa hijab yang menutup antara kita dengan Allah ada 70 ribu hijab, manakala hijab yang menutup antara Allah dengan kita adalah tiada. Allah akan membuka hijab-hijab ini satu persatu jika kita ikhlas menghampirkan diri kepada Nya.
-KASYAF HAQ-
adalah merupakan kasyaf pemberian dari Allah, di mana Allah telah membuka tabir baginya untuk melihat atau mengetahui perkara yang ghaib. Kasyaf jenis ini adalah kasyaf tanpa adanya keterlibatan makhluk jin. Biasanya kasyaf jenis ini ada dua keadaan.
1- Kasyaf tanpa diminta iaitu Allah memberikan kebolehan kasyaf kepada seseorang yang tidak meminta untuk menjadi kasyaf. Allah berkuasa memberikan apa-apa kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya.
2- Kasyaf yang diminta iaitu Allah mengabulkan permintaan seseorang yang ingin kasyaf lalu Allah menjadikan orang tersebut kasyaf. Kebiasaannya para mukasyafah (orang-orang yang kasyaf) di jalan ini telah melalui riadah-riadah kerohanian yang telah diijazahkan oleh Guru mereka melalui jalan Tarekat Kesufian kebiasaannya mereka itu tiada bertujuan untuk mencari kehebatan dan kelebihan duniawi tetapi ingin Ma’rifatullah (mengenal Allah), dan mencapai tahap keyakinan yang kejab lagi unggul.
Terpecah yakin itu kepada beberapa jenisnya
1- Ilmul Yakin dibangsakan ia keyakinan berdasarkan ilmu.
2- Ainul Yakin dibangsakan ia keyakinan berdasarkan penglihatan.
3- Haqqul Yakin dibangsakan ia keyakinan yang Haq tiada bergoyah lagi.
4- Kamalul Yakin dibangsakan ia keyakinan yang sebenar lagi hakiki.
Walaubagaimana pun, kasyaf yang diberikan oleh Allah adalah boleh jadi kerana Allah menyukai kita, atau juga Allah ingin menguji kita dalam bentuk pemberian kasyaf. Namun kita hendaklah menganggap ia sebagai ujian supaya tidak timbul sifat riak, ujub dan sombong diri.
Oleh itu, bagi menjaga pemberian Allah, dan bagi menjaga diri dari tercemar dengan sifat mazmumah, Para Mukasyafah Haq kebiasaannya akan mematuhi adab seorang kasyaf atau adab mukasyafah iaitu:
- Merahsiakan bahawa diri seorang kasyaf- kecuali kepada orang yang paling dipercayai sahaja. Dan jika terbongkar sekalipun bahawa dirinya kasyaf, hanya mendiamkan diri, tidak menjawab "ya" dan tidak menjawab "tidak".
- Merahsiakan segala keburukan orang yang “terlihat” olehnya dan tidak boleh menceritakan keburukan orang lain. Dengan kata lainnya menjaga aib orang itu.
- Menjaga rahsia alam iaitu tidak sewenang-wenangnya menceritakan apa yang dilihatnya secara kasyaf dengan sebarangan orang.
-KASYAF AWAL BATHIL-
Merupakan kasyaf yang pada awalnya sahaja kasyaf bathil tapi bertukar menjadi kasyaf tanpa jin. Ini kerana, jin yang menyebabkan seseorang itu kasyaf telah keluar tapi orang tersebut masih lagi mempunyai kebolehan kasyaf. Ini disebabkan mata dalamnya telah terbuka tanpa ditutup. Ibarat jin keluar bilik tapi tidak tutup lampu.
-KASYAF BATHIL-
Merupakan kasyaf yang diakibatkan oleh kehadiran makhluk jin dalam tubuh seseorang itu. Tidak kira samada orang itu ada gangguan, seperti asyik atau saka, atau pernah mempelajari ilmu tertentu yang ada keterlibatan jin yang boleh menyebabkan dia kasyaf dan dinamakan ia "kasyaf bunian".
Dijeniskan kasyaf itu kepada:
1- Kasyaf Mata- Kebolehan melihat alam ghaib.
2- Kasyaf Telinga- Kebolehan mendengar alam ghaib.
3- Kasyaf Hati/ Mata Basyirah- Kebolehan mengetahui sesuatu yang tersembunyi.
4- Kasyaf Ladunni- Kebolehan mendapat ilmu secara terus dari Allah.
5- Kasyaf Rasa- Kebolehan “merasa” alam ghaib, dan apa-apa yang berlaku di alam tersebut. Biasanya kasyaf jenis ini saling berhubung dengan lain-lain jenis kasyaf yang juga ada pada orang tersebut.
Kebiasaannya orang yang mulai kasyaf akan melalui peringkat yang berikut:
Peringkat Pertama- “Tahu”-
Pada peringkat ini, seseorang itu menjadi tahu akan keberadaan atau kejadian alam ghaib.
Peringkat Kedua- “Rasa”-
Kemudian, dari peringkat tahu menjadi peringkat rasa, orang tersebut mulai merasai keberadaan dan kejadian alam ghaib.
Peringkat Ketiga- “Dengar”-
Kemudian dia akan mulai mendengar bunyi-bunyi yang berasal dari alam ghaib. Bunyi yang mulanya kedengaran sayup-sayup sahaja, kemudian akan meningkat kejelasannya dari masa ke masa.
Peringkat Keempat- “Nampak”-
Kemudian beliau akan mula ternampak lintasan gambar difikirannya, beransur-ansur akan mulai pandai menggunakan penglihatan dalam dan mulai nampak bayangan dan bentuk, kemudian pergerakan, kemudian gambar bergerak yang kurang jelas, kemudian gambar bergerak yang jelas. Akhirnya gambar bergerak yang jelas lagi terang.
Setiap orang yang mulai kasyaf berbeda, ada yang melalui peringkat yang telah disebutkan tadi dengan cepat dan ada yang lambat pula. Ada juga yang hanya mendapat sejenis kasyaf sahaja contohnya hanya kasyaf telinga sahaja.
Walau apa pun ada hikmahnya dan sebab musababnya itu hanya Allah sahaja yang tahu.
Kekadang mereka yang menggunakan pandangan kasyaf melihat seolah pandangan mereka dilapisi oleh suatu warna. Maka ini adalah pencahayaan pandangan kasyaf dan juga dikenali sebagai bayangan yang dilihatnya. Terbahagi kepada beberapa tahap atau warna:
1- Hitam/Gelap: Perlu lebih lagi amalan.
2- Kuning.
3- Biru.
4- Hijau.
5- Putih.
6- Merah : Perlu memperbetulkan semula niat amalan.
Kasyaf yang mempunyai pencahayaan merah adalah kasyaf bathil, ia digunakan oleh dukun, bomoh dan ahli kebatinan pertapaan. Kasyaf sebegini perlu jauhi kerana ada kehadiran jin yang membantu penglihatan kasyaf tersebut.
Kasyaf Menurut Imam Al-Ghazali
Kasyaf ialah satu istilah yang dipakai kepada pembuka hijab melalui ilham, ia ialah sumber maklumat yang menyamai wahyu kepada nabi-nabi, antara wahyu dan ilham dibezakan oleh penerima sama ada nabi ataupun bukan.
Kasyaf ditakrifkan sebagai "menyingkap maklumat di sebalik hijab yang berupa perkara ghaib dan perkara perkara yang benar ada".
Kaum sufi berpendapat, apabila sesorang itu dianugerahkan ilham, maka terbukalah hijab dan dengan itu mereka dapat menyingkap alam langit dan bumi, sidratul muntaha, luh mahfuz, syurga, neraka, kursi, qalam dan lain-lain yang selama ini menjadi rahsia. Mereka berpendapat tiada daun yang gugur di bumi, tiada air yang turun dari langit, tiada bayi yang lahir, tiada kejadian yang berlaku tanpa pengentahuan kaum sufi yang beroleh kasyaf. Mereka mengetahui apa yang tertulis di luh mahfuz. Mereka tahu dengan bahasa apa ditulis dan dengan pena mana dicatat setelah hijab dibuka. Maklumat ini menurut mereka tertutup kepada ulamak yang dinamakan ulamak syariat.
Apakah pendapat Imam Al-Ghazali tentang kasyaf?
Al-Ghazali mengakui kasyaf tidak diperolehi melalui jalan biasa, ia didapati melalui jalan takwa dan mujahadah, namun menurutnya tidak semua orang berjaya mendapatkannya. Al-Ghazali menyatakan bahawa ilmu kasyaf tidak boleh ditulis di dalam kitab, disebabkan jelas bertentangan dengan hukum syarak.
Hakikat ini dibayangkan dalam kitabnya 'Manhaj Al-Abidin' menerusi dua bait syair yang dihubungkan kepada Ali Zainal yang bermaksud:
“Kadangkala ilmu ini kalau aku hebahkan rahsianya, nanti aku dituduh penyembah berhala. Orang Islam akan menghalalkan darahku kerana menganggap baiknya perkara keji yang mereka lakukan itu.”
Kebimbangan al-Ghazali memang beralaskan apabila dituduh sebagai penyembah berhala dan layak dibunuh kerana perbuatan itu jelas bertentangan dengan syariat.
Al-Ghazali menjelaskan pengalaman kasyaf :
“Hendaklah duduk dengan hati yang kosong, penuh keinginan kepada Allah, fikirannya tidak dipisahkan dengan bacaan al-Quran dan tidak juga dengan meneliti tafsir, tidak menulis hadis dan sebagainya, cukup dengan lisan berterusan menyebut Allah Allah Allah.”
Limpahan ilmu kasyaf ke dalam hati sehingga mendengar suara haq, berlaku melalui khulwah berikut:
“Khulwah itu hanya berlaku dalam rumah yang gelap maka masuklah kepalanya dalam baju atau selimutnya dengan kain. Dalam keadaan ini ia akan mendengar dengan seruan al-Haq dan menyaksikan keagungan Rububiyyah.”
Selanjutnya Al-Ghazali berkata:
“Apabila Allah menjaga urusan hati,nescaya melimpah-limpah rahmat atasnya. Terangkan nur pada hati, lapanglah dada dan terbukalah baginya rahsia pada alam malakut.”
Walau bagaimanapun, Imam al-Ghazali tidak pernah menyebut malaikat turun pada kepada kaum sufi, kerana beliau sedar sesiapa mendakwa wahyu masih turun selepas kewafatan nabi maka ia kafir. Atas sebab ini beliau menolak dakwaan yang mengatakan bahawa hati para wali dan kaum sufi dilimpahkan ilmu yang mereka dakwa ke atas mereka. Dalam penegasan mengenai kasyaf sufi, Al-Ghazali cukup dengan mengatakan sebagai limpah ilmu ke dalam hati dan juga pendengaran suara.
(Sumber: ummatanwasatan.net/2011/07/perihal-al-istighathah-syatohah-dan-kasyaf/)
DEFINISI KASYAF dan FIRASAT (menurut Ulama’ Tasawwuf)
Sayyid berkata: “Firasat secara etimologi bererti ketetapan dan penglihatan. Sedangkan menurut istilah ahli hakikat, firasat bererti terbukanya keyakinan dan menyaksikan yang ghaib (Sayyid, Ta’riffat as-Sayyid, hlm 10).
Ibnu Ujaibah berkata: Firasat adalah fikiran yang menyerang hati, atau sesuatu yang nampak di dalamnya. Biasanya dia tidak akan salah, apabila hati itu bersih. Dalam hadis disebutkan,
اتقوا فراسة المؤمن، فإنه ينظر بنور الله
Ertinya: “Takutlah kalian akan firasat orang mukmin, sebab dia melihat dengan cahaya Allah.”
(HR.Tirmidzi)
Firasat berbeza-beza sesuai dengan tingkat kekuatan kedekatan dan ma’rifat kepada Allah. Semakin kuat kedekatan dan ma’rifat, maka firasat akan semakin benar. Sebab, apabila jiwa sudah dekat kepada al-Haq, maka tidak akan tampak di hatinya kecuali kebenaran.
(Ahmad Ibn Ujaibah, Mi’raj at-Tasyawwuf ila Haqa`iq at-Tashawwuf, hlm 18).
Kasyaf merupakan cahaya yang menghantarkan para salik untuk sampai kepada Allah. Dia buka penghalang/hijab pandangan bagi mereka, dan menghilangkan sebab-sebab yang tersurat dari diri mereka, sebagai hasil dari Mujahadah, Khalwat dan Zikir yang mereka lakukan.
(Al-Ghazali berkata, “sesungguhnya kesucian hati dan penglihatannya dapat dicapai dengan zikir. Dan ini tidak akan boleh dilakukan kecuali orang-orang yang bertaqwa. Taqwa adalah pintu zikir, zikir adalah pintu Kasyaf dan Kasyaf adalah pintu kemenangan terbesar iaitu bertemu dengan Allah”
* Ihya ‘Ulum ad-Din, Vol.III,hlm 11).
Penglihatan mereka akan tercermin dalam mata hati mereka. Mereka akan melihat dengan cahaya Allah. Ukuran waktu dan tempat akan hilang dari hadapan mereka. Mereka akan dapat menyaksikan alam-alam Allah yang tidak akan boleh disaksikan/dilihat oleh orang yang masih terikat dengan syahwat, keraguan, bid`ah dalam aqidah dan gangguan syaitan.
Oleh kerana itu, hal ini tidak boleh dilakukan kecuali oleh orang yang memiliki hati yang bercahaya dan sihat, yang hilang darinya cahaya dunia dan segala kepalsuannya, dan telah musnah darinya segala keraguan dan ganguannya, serta yang penuh dengan kebendaan dan bahayanya.
Barangsiapa menjaga pandangannya dari hal-hal yang diharamkan, menjauhkan dirinya dari semua syahwat, membangun hatinya dengan pengawasan Allah, dan biasa memakan makanan yang halal, maka Kasyaf dan Firasatnya tidak akan salah.
Dan barangsiapa selalu melihat kepada yang haram, maka jiwanya yang gelap akan berhembus ke dalam hatinya dan memadamkan cahayanya.
Pokok dari kasyaf adalah apabila seorang hamba berpaling dari pandangan zahirnya kepada pandangan batinnya, maka jiwanya akan menguasai sifat kebinatangan yang ada pada tubuhnya.
Dan jiwa adalah cahaya yang lembut dan menyinari. Ketika itu, dia akan mampu menyingkap tabir dan memperoleh ilham.
Ibnu Khaldun berkata, “Mujahadah, khalwat dan zikir biasanya akan diiringi oleh terbukanya penghalang pandangan dan kemampuan untuk menyaksikan alam-alam Allah.
Roh adalah sebahagian dari alam tersebut. Adapun yang menjadi penyebab Kasyaf ini adalah apabila roh berpindah dari pandangan zahir menuju pandangan batin, maka pandangan (zahir) akan menjadi lemah dan roh akan menjadi kuat. Akhirnya roh akan menguasai kekuatan zahirnya dan menjadi lebih berpengaruh.
Dalam hal ini zikir sangat membantu, sebab zikir merupakan makanan untuk pertumbuhan roh. Selama dia masih terus tumbuh dan berkembang, maka dia akan sampai ke tingkat Syuhud (penyaksian) (Ainul Yaqin dan Haqqul Yaqin), setelah sebelumnya berada ditingkat ilmu (ilmu Yaqin).
Dengan ini, dia akan mampu membuka tabir pandangan dan sempurnalah kesucian jiwa. Inilah yang disebut dengan Idrak (pengetahuan yang sebenarnya.) setelah itu, dia akan memperoleh pemberian Tuhan, ilmu ladunni dan kunci Ilahiah.”
Ibnu Khaldun melanjutkan, “Kasyaf banyak sekali di alami oleh ahli Mujahadah. Mereka dapat mengetahui hakikat hidup yang tidak diketahui oleh orang lain. Pada zaman dahulu, para sahabat melakukan Mujahadah seperti ini.
Dan mereka banyak memperoleh Karamah (kemuliaan). Akan tetapi mereka tidak memperhatikan hal itu. Keistimewaan Abu Bakar, Umar, Utsman dan Ali yang berkaitan dengan masalah ini sangat banyak sekali. Dan mereka diikuti oleh ahli Tareqat, sebagaimana disebutkan dalam Kitab ar-Risalah al-Qusyairiyyah.”
(Abdurrahman Ibn Khaldun, Muqaddimah Ibn Khaldun, hlm. 329.)
Kasyaf merupakan warisan Nabi Muhammad SAW yang benar yang diwarisi oleh para sahabatnya kerana ketulusan mereka, keyakinan mereka dan kesucian hati mereka.
Sheikh Abdul Qadir Isa
(Haqaaiq Anit-Tasawwuf)
via Al Khalidi Sufi Order
Semoga bermanfaat.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar